Ketua AMK Kepala Batas disiasat PKR

 Malaysiakini (5/3/09)
 
Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizudin Ahmat dipanggil oleh jawatankuasa khas siasatan parti itu berhubung dakwaannya baru-baru ini bahawa beliau mempunyai bukti mengenai pemimpin parti itu menerima wang dari pengusaha kuari.Amizudin diminta hadir pada Sabtu ini. Beliau mendapat dakwaan tersebut melalui media pada 26 Februari lalu.

Beliau memberitahu demikian hari ini ekoran kenyataan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berhubung perkara itu, lapor Bernama.

Zahrain dilaporkan menegur Hashim kerana membangkitkan isu itu di media tanpa memaklumkan perkara itu kepada beliau terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Amizudin berkata, beliau terpaksa menggunakan media bagi mendedahkan penyelewengan melibatkan individu tertentu dalam parti itu agar pucuk pimpinan dapat bertindak.

“Pendedahan melalui media bertujuan memberi tekanan kepada pucuk pimpinan parti,” katanya kepada pemberita.

Amizudin juga terkilan kerana dituduh mendedahkan perihal dalaman PKR Pulau Pinang kerana jawatannya sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai tidak disambung.

Amizudin berkata beliau kecewa kerana tiada tindakan diambil terhadap pemimpin yang berkenaan walaupun beliau telah menyerahkan dokumen berhubung isu itu kepada presiden parti pada 8 Januari lalu.

Tinggalkan komen