Abdullah mula bimbang, pilihan raya dijangkakan November ini?

Roslan Shahir
Harakahdaily

Angin bertiup kencang di Kuala Lumpur bahawa Perdana Menteri berhasrat membubarkan parlimen dalam waktu terdekat berkemungkinan bagi memberi laluan untuk Pilihan raya Umum ke-12 diadakan pada bulan November 2007 ini juga.

Dari maklumat yang diterima di kalangan ahli-ahli Parlimen, yang menyambung persidangan belanjawannya sejak semalam, terdapat angin-angin bahawa parlimen ini akan ditamatkan hayatnya sebelum sempat dewan meluluskan Bajet 2008.

Ini bermakna Bajet 2008 yang telah dibentangkan itu (tetapi belum diluluskan Dewan) perlu dibentang semula dalam Parlimen ke-12 selepas pilihan raya nanti untuk kelulusan.

Jika benarlah maklumat ini,bermakna PM, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil contoh dari bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah membubarkan Parlimen sebelum Bajet 2000 diluluskan dahulu.

Kalau kita singkap kembali sejarah, Tun membubarkan Parlimen secara tergesa-gesa pada bulan November 1999 dengan mengadakan pilihan raya umum pada 29 November 1999 iaitu dipertengahan sesi sidang bajet.

Tetapi Tun dahulu mempunyai sebab mengapa beliau terpaksa mengambil tindakan tersebut.

Ketika itu beliau berhadapan dengan gelombang reformasi dan GERAK serta kemudiannya Barisan Alternatif yang dianggotai PAS, Keadilan, PRM dan DAP. Suasana politik begitu kalut dan membimbangkan, sehingga beliau yakin jika dipanjangkan lagi tempoh parlimen, berkemungkinan beliau dan BN akan menghadapi mudarat yang lebih besar.

Terbukti bacaan Tun benar. Pilihan raya Umum 1999 menyaksikan pembangkang terutama PAS menang besar dengan menguasai Kelantan dan Terengganu dan hampir menang di Kedah. Bayangkan jika Tun melanjutkan tempoh Parlimen berkenaan.

Lalu sekiranya benarlah punca angin yang bertiup kencang ini, adakah ia bermakna Abdullah juga sedang dalam keadaan yang genting? Mungkin pada dasarnya ramai yang tidak dapat melihat dengan mata kasar, tetapi hakikatnya itulah yang kita percaya apa yang dirasai oleh Abdullah dan mereka di keliling-kelalangnya.

Jika Tun dahulu berhadapan dengan gelombang kebangkitan rakyat hasil dari kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kezaliman kerajaan BN pimpinan Tun, Abdullah pula mengundang malapetaka yang berlainan.

Kos hidup rakyat ternyata sudah berada di luar kawalan. Harga barangan dan perkhidmatan sudah naik tanpa dapat dihalang-halang lagi. Dan terbaru trend mencacak harga minyak mentah dunia dijangka tidak dapat dipertahankan lagi oleh kerajaan setelah tamat tahun 2007 ini.

Kenaikan harga petrol dan bahan api kali ini dijangka berlipat kali ganda, dan ia pastinya akan semakin mendera rakyat kebanyakkan.

Semakin kos hidup rakyat meningkat, maka semakin kuatlah bantahan rakyat terhadap apa sahaja projek mewah dan yang tidak mendatangkan manfaat langsung kepada mereka.

Setiap sen yang dipam keluar dari khazanah negara diperiksa dan diteliti oleh rakyat sehingga sebarang ruang yang silap akan digunakan rakyat untuk menghukum kerajaan.

Dan apakah gelanggang untuk menghukum yang paling baik jika tidak pada pilihan raya umum!

Dollah bimbang akan trend ini. Melewatkan lagi tarikh pilihan raya bermakna mengurangkan lagi harapannya untuk menang besar sebagaimana pada tahun 2004 lalu.

Dalam pada itu politik perkauman terutama yang dibangkitkan dari kalangan sesama parti-parti komponen juga semakin tegang. Sesungguhnya percaturan ini hanya membawa keuntungan kepada parti-parti pembangkang dan Abdullah pasti ada dimaklumkan akan hakikat ini.

Dan rakyat juga menyaksikan ledakkan masalah sosial dan jenayah yang semakin parah di zaman Abdullah. Institusi Kehakiman pula dicabar dan semakin disangsi rakyat. Rasuah dan salah-guna kuasa secara terang-terang terselak satu demi satu di depan mata rakyat.

Jadi mungkinkah Abdullah dalam suasana yang cemas dan melemaskan ini juga nanti akan menggunakan kaedah Tun iaitu dengan membubarkan Parlimen sebelum bajet diluluskan?

Jika terjadi juga pilihan raya pada bulan November ini bermakna benarlah telahan awal Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat Dato’ Mustaffa Ali bahawa pilihan raya akan diadakan awal iaitu pada bulan November.

Adakah parti-parti pembangkang khasnya PAS sudah bersedia? Sejak bilakah BN menunggu pembangkang bersedia sebelum memanggil pilihan raya.

Sesungguhnya jika benarlah anggapan bahawa pilihan raya akan diadakan dalam tempoh terdekat ini persoalan yang perlu dikemukakan adalah adakah BN yang sudah bersedia?

Jawapannya bersedia ataupun tidak, mereka mungkin tidak ada banyak pilihan. Kerana itu peduli apa bajet diluluskan ataupun tidak, yang penting BN mesti menang biarpun terpaksa berbelanja besar. Bolehkah BN menang besar lagi kali ini?

Apa pun November 2007 atau Mac 2008 atau bila sekali pun, dalam suasana yang serba kalut ini, masanya sudah tiba untuk rakyat bangkit dan menuntut perubahan demi masa depan agama, bangsa dan negara. – mks.

Roslan Shahir bin Dato’ Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: