Rakyat Hakim Negara!

Membaca kenyataan berita Bernama mengenai kenyataan Menteri Penerangan, Zam Maidin supaya media tidak membesar-besarkan berita negatif mengenai Laporan Audit Negara bagi tahun 2006 baru-baru ini menunjukkan betapa pihak Umno-BN tidak mahu rakyat Malaysia tahu atau mengambil tahu tentang penyelewengan yang terang-terang oleh kakitangan kerajaan di bawah Kemenerian-kementerian yang telah didedahkan.

Wang rakyat sendiri telah dirompak oleh mereka yang sepatutnya memikul amanah rakyat. Rakyat pula tidak kisah tentang hal-hal ini kerana disogokkan dengan hiburan, sikap prihatin pimpinan Kerajaan BN terhadap rakyat dengan menyediakan semua yang diperlukan oleh rakyat.

Bukan sahaja Zam Maidin yang menghalang media melaporkan kepada rakyat tentang sikap perompak kerajaan Umno-Bn, tetapi sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan meminta organisasi media supaya mengelak daripada membesar-besarkan berita-berita negatif mengenai kerajaan, seperti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006.

Petikan berita dari Bernama

“Okt 12, Beritahu kebenaran: PM tidak tuju pada media, kata Zam

Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin telah mengarahkan pihak media supaya tidak memperbesar-besarkan berita-berita negatif, kerana menurutnya, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kesediaannya untuk mendengar ‘kebenaran’, bukan dituju kepada pihak media.

Zainuddin memberitahu demikian dalam mesyuarat selama sejam dengan editor akhbar-akhbar utama tempatan, di ibupejabat RTM di Kuala Lumpur Rabu lalu, termasuk dari agensi berita nasional, Bernama.

Beliau adalah antara dua pemimpin tinggi kerajaan yang mengadakan perjumpaan dengan para editor media.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan meminta organisasi media supaya mengelak daripada membesar-besarkan berita-berita negatif mengenai kerajaan, seperti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006.”

Rakyat Malaysia masih boleh yakinkah dengan pentadbiran Kerajaan Umno-Bn yang dengan nyata menyeleweng wang rakyat. Pada tahun lepas, KeADILan Kedah yang telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan mangsa ombak Tsunami. Laporan tersebut telah dibuat oleh bekas Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah, Sdr. Mocktar Mansor, pada 16hb September 2006.

 Laporan tersebut dibuat berdasarkan hasil pendedahan Presiden Parti,Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen. Dr. Wan Azizah membangkitkan isu tersebut setelah Laporan Audit Negera 2005 menemui penyelewengan dana mangsa tsunami berjumlah RM9.84 juta.

KeADILan Kedah telah meminta BPR menyiasat Menteri Besar Kedah, Mahazir Khalid kerana telah mengarahkan Pejabat Pembangunan Negeri Kedah mengeluarkan wang sebanyak RM701,222.00 dari tabung mansa tsunami untuk membeli topi, baju pin dan papan tanda bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri ke Kedah. Arahan yang sama telah dikeluarkan untuk pembelian baju seragam Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kedah sempena sambutan hari Kemerdekaan, permaidani untuk pejabat Menteri Besar dan kamera televisyen.

Di Negeri Sembilan, sejumlah RM5.4 juta wang dana penduduk miskin digunakan untuk mengubahsuai rumah rehat kerajaan bagi menjadi kediaman rasmi Menteri Besar yang baru Mohammad Hassan.

Laporan tersebut telah diedarkan dan diserah kepada semua ahli Parlimen pada awal September 2006.

Namun sehingga ke hari ini rakyat Malaysia masih belum mengetahui apatah lagi mendengar apa – apa arahan daripada Pejabat Perdana Menteri mengenai Laporan daripada Jabatan Audit Negara. Begitu juga dengan laporan-laporan yang telah dibuat kepada BPR tentang penyelewangan yang telah berlaku.

Tahun ini, sekali lagi pendedahan telah dilakukan. Rakyat Malaysia mahu bukti apa lagi yang Kerajaan Umno-BN memang korup. Buka minda anda kerana…

‘Rakyat Hakim Negara’.

Dikirim dalam Hebahan, Rencana. 3 Comments »

Budaya rasuah mula sejak siapa jadi PM?

Membaca setiap artikel penulisan Hishamudin Rais memang menarik. Artikel beliau yang bertajuk ‘Tak Percaya lagi Mahathir Jahat?’ menjelaskan tentang rasuah yang telah disemai dari zaman Mahathir baru nampak hasilnya 20061013-blog_item_jelebu.gifkini di zaman pemerintahan Pak Lah.

“Selama 22 tahun Mahathir telah menjadikan Malaysia jamban rasuah. Berita-berita bangunan yang runtuh rantah itu adalah hasil kerja-kerja rasuah dari zaman Mahathir. Bangunan ini dibuat bukan pada zaman Abdullah Badawi. Cerita-cerita rasuah yang kita dengar telah mula berlaku di zaman Mahathir.

“Projek mendirikan negara bangsa bukan sesuatu yang mudah. Ia akan mengambil masa yang panjang. Dengan tegaknya projek negara bangsa barulah ada kemungkinan lahirnya satu tamadun bangsa. Mendirikan tamadun bangsa akan mengambil masa yang lebih lama dan lebih panjang. Untuk mendirikan sebuah negara bangsa kita memerlukan lembaga-lembaga daulah yang berwibawa, bertanggung jawab, dihormati dan diyakini umum.”

Bak kata Hisham, kerja-kerja rasuah ni telah bermula sejak zaman Mahathir. Kini apa yang kita lihat ialah hasil daripada budaya rasuah yang telah lebih daripada 20 tahun disemai. Kini, semua rakyat Malaysia menganggap rasuah sebagai budaya biasa di dalam negara. Kalau kita tak bagi, orang lain yang akan bagi.

Tengok sajalah berita di negara kita, pegawai polis rasuh, hakim mahkamah syariah rasuah, pegarah JPJ rasuah. Itu baru yang pegawai-pegawai.Menteri tak payah kita nak sebut. Amalan rasuah dah menjadi perkara wajib untuk dapat tender, lulus projek, masuk ‘U’. Nak masuk asrama penuh pun rasuah.

“Altantuya mati dibunuh. Norita mati di bunuh. Sujatha mati dibunuh. Francis mati dibunuh. Mustakizah mati dibunuh. Betul ada di antara mereka ini mati dibunuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Malah Altantuya dibunuh ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan dan Mahathir telah bersara. Waspada. Kes-kes pembunuhan yang tidak ditemui siapa pembunuhnya telah bermula di zaman Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.”

Kenapa rakyat tak takut untuk memberi dan merasuah? Kerana mereka tau jika mereka ditahan BPR, mereka boleh merasuah BPR. Kalau polis yang tahan, mereka boleh rasuah polis. Kalau hakim nak jatuhkan hukuman, hakim pun boleh di rasuah. Pendek kata, rasuah, rasuah, rasuah. Ada wang semua boleh selesai.

Berapa ramai tokey-tokey dadah yang telah ditahan boleh bebas kerana polis boleh terima rasuah. Berapa banyak keputusan ujian dadah melalui air kencing artis, VIP, VVIP boleh jadi ok walaupun kita tahu mereka memang hisap dadah. Sebab pekerja makmal hospital pun rasuah. Macam mana kita nak hapus rasuah, kalau menteri sendiri rasuahkan polis, hakim, BPR supaya jangan dakwa mereka.

Jadi, sebagai rakyat Malaysia anda hanya perlu lihat, dengar sahaja rasuah ini berlaku? Anda berani buat report rasuah di kalangan menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen? Silap-silap anda yang akan masuk ke dalama lokap. Macam mana rakyat nak tolong benteras rasuah, kalau orang yang tolong dedahkan pasal rasuah boleh kena tangkap dan didakwa. Sekarang undang-undang dah jadi terbalik.

“Semua Menteri kabinet yang mengamalkan rasuah yang ‘half past six’ hari ini adalah menteri pada zaman Mahathir. Semua YB pengamal rasuah hari ini adalah YB Mahathir. Apa? Masih tidak percaya lagi Mahathir Mohamad ini orang jahat. Masih ada juga lagi yang menganggap Mahathir Mohamad ini sebagai Wira Dunia Ketiga? Pooorah.”

Apa yang rakyat Malaysia perlu buat? Nak biarkan saja rasuah berterus sampai ke anak cucu kita ataupun mula hapuskan budaya ini dengan tumbangkan Umno-BN alam PRU12 yang akan datang. Barulah negara kita tak tergadai.

“Perkataan Italic ialah petikan dari : Dari Jelebu (Hishamudin Rais)